21 January 2013

Analisis Buku Teks Perdagangan Ting 5 (Luar Bandar)


1.0   PENGENALAN

Buku teks merupakan sumber yang amat penting dalam proses sistem pendidikan formal di sekolah seluruh Malaysia. Ini kerana buku teks adalah sumber rujukan utama yang digunakan oleh guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Buku teks perdagangan tingkatan 5 yang telah diterbitkan adalah berdasarkan huraian sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Bahagian Kurikulum Teknikal dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia. Isi kandungan mata pelajaran Perdagangan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pendidikan  tetapi untuk memberikan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif.

Buku teks yang diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah melepasi beberapa tapisan untuk mencapai spesifikasi kualiti yang ditetapkan berdasarkan sukatan pelajaran dan falsafah pendidikan kebangsaan.

Dalam website Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia  menyatakan bahawa “buku teks ialah buku yang digunakan sebagai bahan asas yang utama dan sumber maklumat mengenai mata pelajaran atau bidang yang tertentu. Buku teks juga mencerminkan nilai masyarakat, harapan dan cita-cita sesebuah negara. Di negara kita buku teks memuatkan perkara seperti Perpaduan Masyarakat, Rukun Negara, Masyarakat Penyayang dan Wawasan 2020.”

Berikut adalah pengertian buku teks,
UNESCO
“A textbook is a book which an exposition of generally accepted principles in one subject, intended primarily as a basis for instruction in classroom or pupil-book-teacher situation.”


 
 



Cambridge International Dictionary of English
“A book that contains detailed information about a subject for people who are studying that subject.”

 







Sumber: Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia


Oleh itu, berdasarkan pengertian buku teks di atas,  buku teks adalah buku yang mengandungi maklumat dan prinsip-prinsip terperinci tentang mata pelajaran yang diterima umum dan digunakan secara meluas dalam bilik darjah berdasarkan piawaian pendidikan kebangsaan walaupun terdapat pelbagai alat bahan bantu mengajar yang canggih dalam era teknologi maklumat pada masa kini.


2.0  MATLAMAT MATA PELAJARAN PERDAGANGAN

Memberi pendidikan perdagangan supaya pelajar mengetahui, memahami dan dapat menggunakan prinsip-prinsip dan amalan positif dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan yang berkaitan. Dengan ini dapat membantu pelajar menjadi warganegara yang bertanggungjawab, berpandangan jauh, rasional serta bijaksana dalam membuat sebarang keputusan, yakin diri, sanggup berdikari dan berani menghadapi persaingan dalam apa juga usaha yang diceburi berlandaskan sifat amanah dan jujur, untuk kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.


3.0  OBJEKTIF MATA PELAJARAN PERDAGANGAN

3.1   Objektif mata pelajaran perdagangan adalah untuk membolehkan pelajar :

a.    Mengenalpasti dan menerangkan struktur dan operasi asas perniagaan, perniagaan dalam negeri dan antarabangsa.
b.    Mengetahui dan memahami kepelbagaian kaedah jualan dalam perniagaan.
c.    Mengetahui dan memahami peranan industri kecil dan sederhana dalam pengeluaran.
d.    Membuat pilihan tentang jenis milikan perniagaan serta memahami prosedur penubuhannya.
e.    Mengenalpasti peluang-peluang utama pelaburan di Malaysia dan cara-cara untuk melabur.
f.     Mengetahui dan memahami kepentingan dan cara bantuan-bantuan dalam perniagaan membantu pengendalian sesuatu perniagaan dan pengguna.
g.    Memahami dan menilai etika-etika dalam perniagaan dari aspek perlindungan pengguna supaya wujud pengguna yang bijak dan rasional.
h.    Mengetahui dan memahami kepentingan peranan kerajaan dalam membantu perniagaan.
i.      Membina pengetahuan dan kemahiran asas serta mengukuhkan minat bagi tujuan meneruskan pendidikan perdagangan di peringkat yang lebih tinggi.
j.      Mengenalpasti peluang-peluang pekerjaan dengan bijak sama ada bersifat berusaha sendiri atau bekerja dengan majikan.


4.0  KEKUATAN YANG TERDAPAT PADA BUKU TEKS

4.1  Ketepatan Isi Kandungan

Isi kandungan buku teks  adalah tepat kerana mengikut huraian sukatan pelajaran perdagangan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Panel penulis buku teks perdagangan tingkatan 5 adalah pakar dalam bidang mata pelajaran perdagangan. Oleh itu kualiti isi kandungan yang ditulis sememangnya berkualiti dan berdasarkan kehendak domain pendidikan iaitu kognitif, psikomotor dan afektif. Selain itu, isi kandungan yang dibuat juga adalah berdasarkan kepelbagaian pelajar.

4.2  Dokumentasi Buku Teks Lengkap

Isi kandungan pembelajaran buku teks ini adalah lengkap dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengandungi:

a)                                                                  Penghargaan
b)                                                                  Isi kandungan
c)                                                                  Kata Pengantar
d)                                                                  Pendahuluan
e)                                                                  Hasil Pembelajaran
f)                                                                   Objektif Pembelajaran
g)                                                                  Ruangan Menjana Minda iaitu Info Dagangan, Uji Minda, Fikirkan
h)                                                                  Ruangan Penerokaan iaitu Laman Web dan Merentas Kurikulum
i)                                                                    Aktiviti untuk pelajar secara indivdu dan berkumpulan
j)                                                                    Rumusan
k)                                                                  Peta Minda
l)                                                                    Latihan objektif, esei dan kajian kes
m)                                                                Glosari
n)                                                                  Senarai rujukan
o)                                                                  Indeks

4.3  Reka Bentuk Isi Kandungan

Setiap bab dan sub tajuk tersusun dengan teratur. Nota yang disediakan dilampirkan dengan gambar dan sumber rujukan seperti laman web yang boleh pelajar rujuk. Keluasan isi kandungan mata pelajaran Perdagangan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pendidikan sahaja tetapi untuk memberikan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif.

4.4  Mendorong Perasaan Ingin Tahu

Fokus kandungan buku teks dapat mendorong perasaan ingin tahu pelajar untuk mengetahui tentang sesuatu  isu dengan lebih mendalam dan terperinci. Aktiviti dan kajian kes yang terdapat dalam buku teks  sangat membantu pelajar untuk memperkembangkan daya kreativiti, mengembangkan daya kritikal dan mengembangkan kemahiran hidup. Ini kerana, fokus isi kandungan pelajaran pedagangan dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas dunia perniagaan seterusnya menggalakkan mereka untuk menceburi dunia perniagaan secara kecil-kecilan tetapi guru juga perlu berperanan untuk membimbing pelajar mengaitkan apa yang dipelajari dengan kehidupan seharian pelajar agar matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketrampilan dan sejahtera tercapai.

4.5  Peta Minda

Di akhir setiap bab terdapat peta minda (Contoh rujuk lampiran buku teks muka surat 153). Peta minda adalah salah satu kaedah untuk memudahkan pelajar untuk mengulangkaji secara cepat dan pantas. Ianya sangat berguna apabila saat akhir untuk menghadapi peperiksaan. Oleh itu, peta minda dihujung bab adalah sangat sesuai dan bagus untuk pelajar.

4.6  Laras Bahasa, Istilah Dan Ayat Mudah

Penulis menggunakan laras bahasa, istilah dan ayat yang mudah, jelas dan difahami oleh pelajar dan guru. Penggunaan bahasa melibatkan beberapa aspek ketepatan, komunikasi, interaktif, kesesuaian dan logik. Buku teks juga menitikberatkan aspek kesesuaian pelajar bahasa dengan tahap perkembangan kognitif pelajar.

4.7  Tiada Kesalahan ejaan

Daripada pemerhatian saya, tiada kesalahan ejaan dalam buku teks tingkatan 5. Ini menunjukkan penggunaan ejaan adalah mengikut daftar ejaan.

4.8  Maklumat Tambahan

Penulis juga memuatkan maklumat tambahan seperti info dagangan, uji minda, fikirkan, laman web dan merentas kurikulum dengan grafik yang menarik untuk tatapan pelajar dan guru. Maklumat tambahan yang menarik dimuatkan adalah bertujuan untuk meransang pembelajaran untuk meningkatkan daya pemikiran yang lebih mendalam terhadap tajuk tersebut.

4.9  Ruangan Menjana Minda

Penulis juga memuatkan ruangan yang menguji minda pelajar iaitu info dagangan, uji minda, fikirkan. Ruangan info dagangan mendedahkan pelajar dengan maklumat tambahan untuk membuka minda pelajar yang tidak hanya tertunpu dalam bidang pendidikan malahan isu semasa. Ruangan uji minda adalah untuk menguji dan merangsang ingatan pelajar terhadap tajuk yang telah mereka pelajari sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Ruangan fikirkan menggalakkan  pelajar memikirkan sesuatu yang ada kaitan dengan apa yang telah dipelajari oleh mereka. (Contoh rujuk lampiran buku teks muka surat 46 dan 47)

4.10  Ruangan Penerokaan

Penulis juga memuatkan ruangan laman web dan merentas kurikulum. Ruangan laman web bertujuan untuk mendedahkan pelajar dalam menerokai maklumat dengan melayari internet melalui kaedah ini dapat meningkatkan kreativiti pelajar. Ruangan merentas kurikulum pula mendedahkan maklumat mata pelajaran lain kepada pelajar selain mata pelajaran perdagangan. (Contoh rujuk lampiran buku teks muka surat 46 dan 120)


5.0  KEKURANGAN YANG TERDAPAT PADA BUKU TEKS.

5.1  Reka Bentuk Isi Kandungan Tidak Mesra Pelajar

Walaupun setiap bab dan sub tajuk tersusun dengan teratur tetapi format penulisan teks sukar untuk pelajar fahami kerana penggunaan struktur ayat yang terlalu panjang menyebabkan pelajar tidak dapat membezakan isi penting dengan penerangan yang isi tidak penting. Selain itu, nota terlalu panjang juga akan membuatkan pelajar bosan. (Rujuk lampiran buku teks muka surat 95) Penggunaan struktur ayat berlainan tetapi membawa maksud yang sama.

5.2  Kekurangan Latihan Beraras Tinggi

Latihan yang terdapat dalam buku teks kebanyakan terdiri daripada aras rendah iaitu aras pengetahuan, kefahaman dan aplikasi. Oleh itu, penulis perlu menambahkan latihan beraras tinggi supaya dapat mengasah minda kritis dan kritikal mereka.

5.3  Reka Bentuk Grafik, Teks Dan Gambar Tidak Menarik

Penulis perlu lebih kreatif untuk reka letak grafik, teks dan gambar supaya ruang dalam buku teks dapat digunakan dengan sebaiknya. Contohnya rujuk lampiran buku teks muka surat 97 reka letak gambar sangat merugikan ruang buku teks, sedangkan ruang yang kosong tersebut boleh digunakan untuk meletakkan info lain. 

5.4  Kurang Gambar dan Ilustrasi berwarna

Dalam Spesifikasi Umum Buku Teks dari website Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan “penggunaan warna dalam buku teks KBSM bergantung kepada keperluan kandungan mata pelajaran  tersebut tetapi bilangan halaman berwarna dihadkan bertujuan untuk mengawal harga buku tersebut.” Disebabkan spesifikasi ini, menyebabkan kenapa buku teks hanya menggunakan warna yang terhad. Hanya warna biru dan hijau yang paling banyak digunakan. Halaman gambar dan ilustrasi berwarna juga sangat sedikit bilangannya. Kebanyakan gambar dan ilustrasi dalam warna hitam dan putih.

5.5  Kurang Paparan Contoh Dan Gambar Untuk Penerangan

Setiap penerangan fakta dan isi kandungan lebih baik jika disertakan dengan contoh dan gambar supaya pelajar dapat merasai situasi dan memahami dengan lebih jelas. Ini kerana, kebanyakkan isi kandungan perdagangan kebanyakkan maklumat terkini dan akan mendatangkan masalah kepada pelajar yang tinggal di kawasan kampung yang kurang pendedahan dengan teknologi masa kini. Justeru tu, pentingnya contoh untuk setiap penerangan nota. (Rujuk lampiran buku teks muka surat 89) Bab 3 Pengangkutan di bawah tajuk sistem rel, buku teks hanya menulis contoh ERL dan STAR LRT. Contoh ini mungkin hampir dan relevan untuk pelajar yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi bagi pelajar yang tinggal di Alor Setar pasti tertanya-tanya apakah ERL dan LRT? Oleh itu, perlunya contoh dan gambar supaya pelajar lebih nampak dan faham apa yang mereka belajar.

5.6  Maklumat Sukar Diubah

Maklumat buku teks sukar diubah jika terdapat perubahan maklumat terkini kerana buku teks tidak boleh disunting serta merta. Penambahan maklumat baru juga mungkin mengambil masa yang lama sekurang-kurangnya 5 tahun sekali.

5.7  Nilai-Nilai Murni Dinyatakan Secara Tersirat

Nilai-nilai murni tidak dapat dinyatakan secara tersurat dan kadangkala pelajar mungkin tidak menyedari bahawa tajuk yang dipelajarinya adalah amalan nilai-nilai murni. Contohnya lampiran buku teks muka surat 208, di bawah tajuk pengguna, pelajar didedahkan dengan tanggungjawab pengguna yang melibatkan pelajar bertanggungjawab sosial dan bertanggunjawab terhadap alam semula jadi. Dua perkara ini sebenarnya adalah nilai murni yang perlu pelajar aplikasikan dalam kehidupan mereka tetapi mereka tidak menyedarinya.

5.8  Tidak Mempunyai Skema Jawapan

Penulis tidak melampirkan skema jawapan dan garis panduan jawapan untuk latihan objektif, esei, kajian kes, uji minda dan fikirkan supaya mereka boleh membuat rujukan.  
  

6.0  CADANGAN MENAMBAHBAIK BUKU TEKS

6.1  Reka Bentuk Isi Kandungan Mestilah Mesra Pelajar

Teks nota dalam isi kandungan dalam buku teks sememangnya disusun dengan sistematik, kemas dan tersusun. Tetapi perlu menambahbaikan dalam format penulisan teks nota tersebut. Teks nota yang mesra pelajar mestilah ringkas tetapi mempunyai maklumat yang padat dan tepat berbanding sebelum ini struktur ayat teks nota yang terlalu panjang menyebabkan pelajar keliru antara isi penting dan tidak penting. Oleh itu, dengan nota yang ringkas, padat dan tepat mampu memudahkan pelajar untuk membaca buku teks.

6.2  Memperbanyakkan Soalan Berbentuk KBKK dan Beraras Tinggi

Cadangan untuk penambahbaikan untuk buku teks ini adalah perlu memperbanyakkan latihan yang berbentuk KBKK dan beraras tinggi. Ini kerana kebanyakkan  soalan latihan yang disedia oleh penulis kebanyakkan dari aras rendah Taksonomi Bloom. (Rujuk lampiran buku teks muka surat 153 dan 154) Selain itu, penulis juga perlu memperbanyakkan latihan berbentuk kritikal supaya dapat mengasah kemahiran berfikir dan komunikasi pelajar

6.3  Reka Bentuk Grafik, Teks Dan Gambar Perlu Menarik

Reka bentuk grafik, teks dan gambar yang baik dapat menyampaikan maklumat pembelajaran  kepada pelajar dengan cepat dan proses ingatan dapat ditingkatkan. Oleh itu, reka bentuk grafik, teks dan gambar perlu menarik supaya dapat menarik perhatian pelajar dan memberikan keseronokan kepada pelajar ketika membaca buku teks. Selain itu, reka letak tersebut itu perlu sesuai, harmoni dan ada penegasan.

6.4  Contoh Dan Gambar Terkini Perlu Ditambah

Buku teks yang disediakan perlulah lebih teliti dan setiap konsep, fakta dan penerangan perlu disertakan dengan contoh dan gambar terkini supaya pelajar lebih nampak dan faham apa yang mereka belajar. Selain itu, untuk membantu pelajar yang tinggal di kampung-kampung kecil yang tidak pernah terdedah dengan perkembangan semasa lebih memahami dan mendalami tajuk tersebut berdasarkan contoh dan gambar terkini.

6.5  Memperbanyakkan Gambar dan Ilustrasi berwarna

Pada pendapat saya, walaupun kos pengeluaran buku teks agak mahal tetapi jika buku teks yang dikeluarkan itu berkualiti ianya mampu memberi manfaat dan faedah kepada pelajar, ianya adalah salah satu keperluan untuk diaplikasikan. Ini kerana, dapat memudahkan pelajar khususnya pelajar yang tahap ekonominya rendah yang sememangnya tidak mampu membeli buku rujukan. Selain itu untuk memupuk minat pelajar untuk menggunakan buku teks daripada pelajar membeli buku rujukan yang menarik paparannya tetapi kurang berkualiti isi kandungannya.


6.6  Kemaskini Maklumat Terkini

Untuk edisi yang seterusnya diharap penulis dapat mengemaskini fakta bagi sesuatu tajuk yang dibincangkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pelajar khususnya. Di sebabkan hal ini, buku teks perlu dikemaskini dan ditukar 5 tahun sekali supaya maklumat terkini ditambahbaik oleh penulis.

6.7  Membuka Laman Web Untuk Kemaskini Maklumat Terkini

Kementerian Pelajaran Malaysian boleh membuka satu pautan laman web untuk penulis mengemaskini data dan maklumat terkini dalam buku teks dari semasa ke semasa. Dengan cara ini, guru-guru dapat mengemaskini buku teks dari semasa ke semasa. 

6.8  Perlu Menyatakan Nilai-Nilai Murni

Penulis boleh menyediakan ruangan kecil seperti info dagang dan uji minda (Rujuk lampiran buku teks muka surat 46) untuk menyatakan nilai-nilai murni yang perlu pelajar terapkan dalam diri mereka. Penambahbaikan pada bahagian penerapan nilai gagasan amat perlu bagi membentuk individu pelajar yang kuat jati diri sebagai anak Malaysia. Walaupun buku teks ini mengandungi unsur-unsur yang menunjukkan kepekaan terhadap nilai-nilai murni. Namun nilai-nilai murni tersebut tidak dinyatakan secara tersurat menyebabkan pelajar tidak menyedarinya.

6.9  Peta Konsep sebagai Advance Organizer

Menurut Huo Kok Sen (2002) dalam Norazlin Zainal Abidin (2008) kesan penggunaan peta konsep ini telah banyak dilihat keberkesanannya di luar negara sebagai satu advancer organizer untuk pembelajaran sains. Oleh itu, penambahan peta konsep sebagai advance organizer pada awal bab dapat membantu pelajar untuk memahami isi kandungan bab yang akan dipelajari untuk tajuk tersebut. Dengan itu, dapat menarik minat pelajar untuk menerokai isi kandungan buku teks.

6.10  Skema Jawapan

Penulis boleh melampirkan skema jawapan dan garis panduan jawapan untuk latihan esei, kajian kes, uji minda dan fikirkan supaya mereka boleh membuat rujukan. Selain itu, sebagai garis panduan untuk menjawab latihan berbentuk esei.  










7.0  PENUTUP

Lambakan pelbagai jenis buku rujukan dipasaran menyebabkan buku teks semakin dilupai oleh pelajar. Malah guru juga lebih suka dan tertarik untuk menggunakan buku rujukan kerana penyediaan kandungan buku rujukan yang berwarna-warni, ringkas dan menarik sedangkan buku-buku rujukan tersebut tidak menepati tahap standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Walaupun kebanjiran buku rujukan di pasaran tetapi fungsi buku teks tidak boleh diambil alih oleh buku rujukan, modul atau e-buku teks yang telah diubahsuaikan. Buku rujukan tambahan yang lebih mengutamakan keuntungan semata-mata tidak akan dapat bersaing dengan buku teks. Ini kerana, buku teks banyak membantu semua pelajar tanpa mengira status sosioekonomi. Buku teks merupakan bahan bantu mengajar yang penting bagi guru dan murid. Peranan dan pengaruh buku teks merupakan sangat penting dalam pencapaian pelajar.

Selain itu, penulisan buku teks mestilah menepati standard yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran untuk menepati keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekan matlamat pendidikan demi memastikan perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani supaya melahirkan modal insan yang cemerlang, terbilang dan gemilang.

Diharap pada masa akan datang pelajar akan menjadikan buku teks sebagai sumber rujukan utama dalam mendalami ilmu pengetahuan. Guru juga perlu menjadi pendorong kepada pelajar untuk  menjadikan buku teks sebagai buku yang mudah dan menyeronokkan.







 8.0  BIBLIOGRAFI

Siti Amnah Sahran, Rahimah Ibrahim dan Maggie  Low Poh  Lean. (2003). Perdagangan Tingkatan 5. Selangor: Info-Didik Sdn. Bhd.  

Jabatan Pendidikan Teknikal. (2003). Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersebadu Sekolah Menengah Perdagangan. Selangor: Technogains Sdn. Bhd.

Norazlin Zainal Abidin (2008) Kesan Penggunaan Peta Konsep Ke Atas Pencapaian Mata Pelajaran Rekabentuk Sistem Dalam Kalangan Pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Dan Multimedia. Tesis Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Lampiran II Analisis Buku Teks. http://www.scribd.com/doc/47221724/LAMPIRAN-II-analisis-buku-teks-table (Akses 15 Oktober 2012)

Penggunaan Buku Teks Di Sekolah Menengah Http://Cikguazharrodzi.Blogspot.Com/2010/10/ Penggunaan-Buku-Teks-Di-Sekolah.Html (Akses 15 Oktober 2012)

Bahagian Buku Teks  Kementerian Pelajaran Malaysia. http://www.moe.gov.my/bbt /bukuteks_anatomi.php (Akses 01November 2012)

Spesifikasi Umum Buku Teks KBSR. http://www.moe.gov.my/bbt/kbsm_speks_umum.php (Akses 01November 2012)















No comments:

Post a Comment